7 Panduan Mengelakkan Daripada Terjebak Dalam Perlumbaan Tikus (Rat Race)

 

Pernah dengar istilah Rat Race? Ia digambarkan bahawa melakukan sesuatu perkara yang tiada kesudahan. Tiada akhirnya.

Ia ibarat seperti seekor tikus yang berlari di atas roda di dalam sangkarnya. Tiada matlamat. Berlari, penat , tidur, makan. Esoknya ulang lagi perkara yang sama. Tiada hasil. Tiada kesudahan.

Sama juga dengan orang yang bekerja 9 jam. Pergi kerja untuk gaji, gaji pulak bayar liabiliti dan kehendak diri. Tengah bulan habis duit. Kerja lagi. Dapat gaji belanja sakan lagi. Tidak sempat nak menyimpan dan beli aset. Hari-hari hanya mengulangi rutin harian yang sama.

Beli kereta untuk pergi kerja, dapat gaji habis bayar ansuran kereta. Pergi kerja, balik kerja, tunggu gaji. Bosan. Tiada matlamat hidup.

Kau rasakan seolah-olah seperti berlumba dalam perlumbaan tikus (rat race). Ia tiada kesudahannya. Saling berlumba dan bersaing dengan orang lain dalam perlumbaan yang mengejar kehendak, membina liabiliti. Lantas kau juga yang kerugian.

Kau kena keluar daripada rat race secepatnya. Ramai anak muda yang terkena dengan perangkap rat race ni. Dapat gaji belanja. Dapat gaji beli benda yang tak penting. Dapat gaji bayar itu bayar ini. Penat kerja tak berbaloi langsung.

Antara panduan untuk kau keluar daripada perlumbaan ini adalah;

***

1. Gaya Hidup Biar Sepadan Dengan Pendapatan

Gaji baru RM2000, tapi bajet serupa bergaji RM20,000. Kereta nak import je. Alergik naik kereta tempatan katanya. Masalah itu ini kalau naik kereta tempatan. Telefon nak upgrade. Baju nak beli kat butik. Jam kena berjenama je.

Kawan-kawan ada kad kredit kau nak ada jugak. Main swipe je tapi tak bayar. Kawan-kawan beli kasut berjenama kau pun tak nak mengalah. Tak nak dipandang selekeh.
.

2. Sediakan Bajet

Bajet amat penting untuk merangka kewangan. Bajet juga dapat membantu kau untuk melihat aliran duit keluar masuk terutamanya setelah dapat gaji. Sekurang-kurangnya kau tahu ke mana duit akan dibelanjakan.

Bila ada bajet, barulah kau tahu banyak hutang yang perlu dibayar rupa-rupanya. Baru kau sedar diri sikit yang hutang kau makin meningkat, tapi pendapatan masih sama saja.

Kalau tak sedar lagi tu, minta kawan baik kau azankan dekat telinga je lah. Takpun suruh dia bacakan talkin. Kalau tak sedar jugak lagi, cuba kau tampar sikit pipi tu. Biar tersedar daripada mimpi yang panjang.
.

3. Elakkan Belanja Sakan Pada Hari Istimewa

Setiap kali hari jadi je, mesti buat majlis gempak, gah dan meriah. Panggil kawan- kawan makan. Tak salah nak belanja orang makan. Tapi jangan boros. Ada yang sanggup berhutang untuk buat majlis hari jadi, berhutang masa nak sambut hari raya dan berhutang untuk majlis perkahwinan. Tak perlu itu semua. Buat sekadar kemampuan kewangan kau sahaja.

Biarlah tak nampak hebat dan gah di mata manusia. Janji, hidup kau senang. Bebas daripada hutang. Hati pun senang.
.

4. Jangan Membeli Dengan Emosi

Jangan suka membeli dengan emosi. Jiran tukar sofa, dia nak beli jugak. Jiran tukar kereta dia pun paksa suami beli kereta baru. Nak menunjuk yang dia pun mampu. Berubahlah. Tak ke mana pun kau kalau masih mempunyai sikap begitu. Berlumba-lumba pergi masjid paling awal tak nak pulak.

Tengok Sale 70% terus menggelupur nak beli. Padahal barang tu kau dah ada. Bila tudung Freedada keluar design baru, dia berebut nak beli, padahal satu almari dah penuh dengan tudung. Tudung berlambak tapi tak tutup dada, takda maknanya jugak. Langsung tak boleh kawal emosi semasa nak membeli. Amalkan sebelum membeli, fikir sejenak 10 saat sama ada kau perlukan barang itu ataupun tidak.
.

5. Beli Secara Tunai

Jika mampu beli secara tunai belilah secara tunai. Jika kau berhutang ataupun bayar ansuran, harga dia jauh lebih tinggi daripada harga sebenar. Ini beli televisyen nak bayar ansuran, beli almari, katil semua nak bayar ansuran. Kalau tak mampu tak payah beli lagi. Simpan dan kumpul duit dulu.

Gunakan kad kredit sebaik-baiknya. Jangan naik main swipe je. Ia boleh merosakkan kewangan kau.
.

6. Jangan Pernah Gagal Membayar Hutang

Bila dah dapat gaji, rasa nak bayar hutang, bayar. Rasa tak nak bayar, tak bayar. Boleh pulak main rasa-rasa ye. Hutang jangan diabaikan. Wajib dibayar.

Kalau ada pinjaman konvensional, lepastu kau tak bayar, asyik bertangguh, lagi naik interest dia. Dah ada banyak hutang, jangan buat hutang lagi. Kau menternak lemak kat perut dah la, jangan menternak hutang.
.

7. Tingkatkan Ilmu Pengurusan Kewangan

Ilmu ini tidak diajar di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi. Jadi, kau kenalah belajar sendiri. Kembali kepada perkara yang paling asas. Menuntut ilmu.

Nak berjaya di dunia dan di akhirat kena ada ilmu. Dalami ilmu pengurusan kewangan. Belajar mengenai aset, liabiliti, hutang jahat dan hutang baik. Kau kena tahu apa itu kehendak dan apa itu keperluan. Dengan adanya ilmu di dada, datang la iklan apa pun, jurujual datang promosi barang atau sale sini sana, kalau kau tak perlukan kau tak akan beli.

***

Kesimpulannya, tak perlu kau berlumba-lumba untuk nampak hebat, cool, bergaya. Tapi bila tengok duit dalam akaun bank rasa seram je, lebih seram daripada filem Munafik.

Semakin cepat kau keluar daripada perlumbaan rat race, semakin cepat kau dapat tumpu untuk menjana pendapatan pasif pula. Ada simpanan untuk buat deposit rumah. Beli rumah dan sewakan. Beli aset dan melabur di tempat yang selamat dan menguntungkan. Jika mindset kau masih sama je, sampai ke tua la kau terperangkap dalam rat race.

Bersusah payah dahulu untuk 5-6 tahun, hasilnya kau akan senang dengan pendapatan pasif untuk 30 tahun akan datang jika dipanjangkan umur. Bak kata pepatah, “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Daripada hidup berlagak mewah, beli kereta lebih daripada gaji, bersenang-senang sekarang tetapi merana untuk 30 tahun akan datang. Fikir-fikirkan lah.

Berapa banyak anak muda muflis disebabkan kalah dalam rate race ni. Apa tindakan yang kau buat pada masa muda ini akan memberi kesan yang sangat mendalam pada masa tua nanti.

Mulalah sekarang. Menyimpanlah walaupun sedikit tidak mengapa. Janji kau amalkan simpan dulu baru berbelanja ataupun simpan 10% daripada pendapatan. Lagi banyak lagi bagus.

Sekian, terima kasih. Habis tak baca gua membebel serupa mak-mak? Rela aku membebel sekarang daripada tengok kau dah nak muflis baru nak cari jalan penyelesaian, dah kena ikat dengan AKPK baru nak menyesal. Kah!

Sumber :Follow Amir Syahir di FB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *