Saya Tak Pernah Pakai Barang Mewah, Mahal

Ameer Ali Mydin Saufiwahab.com

Sumber : Mstar online

SUBANG JAYA: “Nak cantik, bergaya tak semestinya pakai barang mahal, berjenama,” demikian prinsip dipegang Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Orangnya cukup ‘sempoi’ tapi penuh bergaya.

Saat bertemu dengannya pada sesi temu bual baru-baru ini, usahawan berjaya berusia 61 tahun itu tidak malu mengaku apa digayakannya bukan barangan berjenama, jauh sekali yang mahal-mahal.

“Anda rasa, berapa harga tie (tali leher) saya ni?,” tanya beliau sambil membetulkan kedudukan tali lehernya.

Mendengar jawapan penulis mengenai harga sepatutnya dan dirasakan ‘kena’ dengan jawatannya sebagai pengarah urusan, Ameer Ali hanya tersenyum.

“Ini ‘tie’ (tali leher) Mydin, ‘brand’ Titan. Harganya hanya RM12.90. Ada dijual di bawah (Pasaraya Mydin). Orang tengok, mungkin orang ingat jenama mahal kan sebab ada yang tak pernah dengar jenama ni.

“Kalau dibungkus kemas-kemas, orang akan kata cantik dan mahal. Tapi, sebenarnya ada dijual di Mydin. Cuma, kalau letak jenama Mydin, orang katalah murah. Bila letak nama Titan macam ni, orang pun tak tahu ia jenama mahal atau murah.

“Sebabnya, sekarang terlalu banyak jenama yang ada di pasaran dan ada yang jual produk mereka pada harga mahal,” katanya.

Ameer Ali berkata, sejak kecil, beliau memang tidak pernah memiliki barang berjenama mewah kerana paling penting, apa dipakainya kelihatan cantik dan kena pada tempatnya.

“Cara dan gaya kita bawa diri akan boleh nampak ia seperti mewah,” kata anak kedua daripada tujuh beradik ini penuh berkeyakinan.

Menurutnya, sejak kecil, beliau sudah dididik mengamalkan kehidupan yang sederhana.

mydin Chairman saufiwahab.com

sumber carian google

“Apa yang saya amalkan, begitu juga ia diterapkan dalam perniagaan. Mydin, harga murah, tetapi kualiti terbaik. Mydin menyediakan pelbagai barangan dan jenama untuk golongan sederhana di Malaysia. Biarlah membeli menang memakai,” katanya.

Ameer Ali berkata, sebelum akur dengan permintaan arwah bapanya untuk menceburi bidang perniagaan, beliau bertugas sebagai pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank.

Katanya, beliau menjaga cawangan ketiga Mydin yang pertama di Lembah Klang, iaitu di Jalan Masjid India pada 1987.

Umum mengetahui sejarah penubuhan Mydin adalah pada 1957 di mana, kedai pertamanya di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan yang diasaskan oleh bapa Ameer Ali iaitu Mydin Mohamed Ghulam Hussein.

Selepas 22 tahun, Pasaraya Mydin mengorak langkah dengan membuka cawangan keduanya di Kuala Terengganu pada 1979.

Kini, empayar Mydin berkembang pesat dan dikenali sebagai Mydin Mohamed Holdings Berhad.

Menyambut ulang tahun ke-60, Mydin meneruskan langkah perniagaannya dengan membantu orang ramai berbelanja, khususnya golongan pertengahan dan berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Inilah fardu kifayah kami. Mydin juga seberapa boleh nak bantu orang ramai menjimatkan wang ketika berbelanja. Dalam perniagaan ini, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Cukuplah dengan memberi fokus kepada golongan tertentu, itu sudah memadai,” katanya.

Ameer Ali berkata, Mydin sentiasa mengamalkan harga berpatutan buat pelanggannya.

“Dah 60 tahun kami bertapak dengan 322 cawangan di serata Malaysia dan insya-ALLAH akan menambah tiga lagi tahun ini. Sempena 60 tahun ini juga sudah pasti Mydin menyediakan sesuatu yang terbaik buat pelanggan setia kami,” katanya.

Tagline ‘Mengapa Bayar Lebih, Belilah Dengan Harga Borong!’ membuatkan Mydin kekal bertahan begitu lama, ditambah dengan ramuan diamalkan dalam perniagaannya, membuatkan pasar raya ini terus melekat di hati pengguna.

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, dan persaingan dalam bidang ini, tetapi saya bersyukur kerana dengan kakitangan dan pelanggan setia, kami masih lagi mampu memberikan yang terbaik buat semua,” kata Ameer Ali. -SinarOnline

Sumber : Mstar Online | Selasa, 15 Ogos 2017

Hutang kad kredit bukan punca utama bankrap

kad kredit

sumber google

KUALA LUMPUR: Hutang kad kredit bukan kes tertinggi yang menyebabkan rakyat negara ini bankrap.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, berkata statistik menunjukkan hanya 1,770 kes bankrap akibat gagal membayar hutang kad kredit daripada keseluruhan 18,457 kes kebankrapan direkodkan pada 2015. ,

“Statistik Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh 2011-2015 dari segi kebanyakan kes, khususnya pada 2014 dan 2015, isu kebankrapan paling tinggi disebabkan pinjaman peribadi diikuti isu sewa beli kenderaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nasrun Datu Mansur (BN- Silam) mengenai kebenaran hutang kad kredit punca ramai rakyat terutama orang muda bankrap.

Tee Yong berkata, bagi menangani isu kebankrapan membabitkan kad kredit pelbagai langkah diperkenalkan oleh BNM antaranya memastikan hanya pemohon yang layak iaitu mempunyai pendapatan minimum RM24,000 setahun diberi kelulusan.

“Langkah ini menunjukkan statistik kadar kelulusan tidak tinggi sampai 80 hingga 90 peratus, sebaliknya di bawah kawalan iaitu hanya 50 hingga 60 peratus saja,” katanya.

“BNM melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi membendung kenaikan hutang isi rumah sejak 2010.

“Menerusi pelbagai langkah kawalan, kadar pertumbuhan hutang isi rumah menurun kepada 7.3 peratus pada akhir Disember 2015 berbanding 14.2 peratus pada 2010,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online | Selasa, 24 Mei 2016

Marketing Menipu Punca Kewangan Gawat

Bismillah. Malaysia sudah memasuki zaman teknik marketing gaya ‘menipu’. Dalam apa sahaja bisnes, teknik pemasaran yang menipu itu berjaya memperbodohkan banyak rakyat.

Kesannya, rakyat hanya nampak punca mereka tidak cukup duit, adalah berpunca dari kos barang naik. Mereka tidak nampak ada punca kedua yang menyebabkan mereka tidak cukup duit?

Iaitu berjaya diperbodohkan oleh sistem dan teknik marketing kejam yang dipakai oleh  SEBAHAGIAN syarikat telekomunikasi, pasaraya, produk kewangan, barangan yang dijual secara online dan offline.

Hanya Jauhari yang dapat mengenal Manikam. Hanya yang tahu, dapat mengenal jantan dan betina ikan di laut dan di darat.

Yang tidak tahu, itu yang menyedihkan, mereka diperdaya untuk berbelanja untuk servis dan produk yang membuatkan mereka kehabisan duit setiap bulan.

Ini zaman orang yang cerdik terselamat, manakala orang yang memilih untuk tidak mahu belajar dan berfikir kecundang, tanpa dirinya tahu bahawa mereka kecundang berpunca dari dirinya sendiri.

Allah yang tahu apa yang betul dan yang sebenarnya. Astagfirullah.

Sumber dan Follow FB : Shamsudin Kadir

Rakyat Malaysia paling ramai berhutang

KUALA LUMPUR 3 Mac. – Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia dan lebih dua kali ganda purata serantau seba­nyak 33 peratus.

Anggaran purata hutang di Malaysia adalah RM56,000 iaitu kira-kira 10 kali lebih tinggi daripada purata pendapatan peribadi bulanan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd., Mark O ‘Dell berkata, kaji selidik tersebut me­nunjukkan tahap bebanan hutang yang ditanggung pada masa ini adalah tinggi dan ini amat membimbangkan.

“Dengan keadaan pa­saran kewangan yang tidak menentu dan keadaan perkembangan ekonomi yang perlahan, individu harus menguruskan serta mengatur pergerakan kewangan mereka bagi mengelakkan daripada dibebani terlalu banyak hutang.

“Tanpa pengurusan hutang yang efektif, rakyat Malaysia tidak akan mampu mencapai matlamat simpanan jangka panjang dan ini boleh menjejaskan keselamatan kewa­ngan mereka pada masa hadapan.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hutang rakyat negara ini sebahagian besarnya sumbangkan oleh perbelanjaan keperluan hidup sebanyak 60 peratus, bayaran sewa kediaman (44 peratus) dan pelajaran anak-anak (37 peratus).

“Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan daripada hutang yang ditanggung adalah bersifat jangka panjang dengan satu perempat da­ripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih.

“Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan kegagalan mengurus aliran tunai dengan berkesan,” ujarnya.

Selain daripada kelemahan dalam menguruskan wang simpanan, 74 peratus daripada individu yang diselidik menyatakan mereka seharusnya melakukan pe­rancangan pelaburan dengan lebih baik, manakala 28 peratus menyatakan mereka seharusnya lebih aktif dalam mengkaji semula portfolio mereka dan 27 peratus menyesal kerana mempunyai terlalu banyak tunai di dalam tangan.

Kaji selidik terbabit adalah berasaskan 500 temu bual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Sebanyak 89 peratus daripada responden Malaysia memantau perbelanjaan mereka secara tetap, manakala 44 peratus membelanjakan 70 peratus atau lebih daripada pendapatan bulanan mereka setiap bulan yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat.

Sumber : Utusan Online