Rakyat Malaysia paling ramai berhutang

KUALA LUMPUR 3 Mac. – Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia dan lebih dua kali ganda purata serantau seba­nyak 33 peratus.

Anggaran purata hutang di Malaysia adalah RM56,000 iaitu kira-kira 10 kali lebih tinggi daripada purata pendapatan peribadi bulanan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd., Mark O ‘Dell berkata, kaji selidik tersebut me­nunjukkan tahap bebanan hutang yang ditanggung pada masa ini adalah tinggi dan ini amat membimbangkan.

“Dengan keadaan pa­saran kewangan yang tidak menentu dan keadaan perkembangan ekonomi yang perlahan, individu harus menguruskan serta mengatur pergerakan kewangan mereka bagi mengelakkan daripada dibebani terlalu banyak hutang.

“Tanpa pengurusan hutang yang efektif, rakyat Malaysia tidak akan mampu mencapai matlamat simpanan jangka panjang dan ini boleh menjejaskan keselamatan kewa­ngan mereka pada masa hadapan.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hutang rakyat negara ini sebahagian besarnya sumbangkan oleh perbelanjaan keperluan hidup sebanyak 60 peratus, bayaran sewa kediaman (44 peratus) dan pelajaran anak-anak (37 peratus).

“Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan daripada hutang yang ditanggung adalah bersifat jangka panjang dengan satu perempat da­ripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih.

“Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan kegagalan mengurus aliran tunai dengan berkesan,” ujarnya.

Selain daripada kelemahan dalam menguruskan wang simpanan, 74 peratus daripada individu yang diselidik menyatakan mereka seharusnya melakukan pe­rancangan pelaburan dengan lebih baik, manakala 28 peratus menyatakan mereka seharusnya lebih aktif dalam mengkaji semula portfolio mereka dan 27 peratus menyesal kerana mempunyai terlalu banyak tunai di dalam tangan.

Kaji selidik terbabit adalah berasaskan 500 temu bual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Sebanyak 89 peratus daripada responden Malaysia memantau perbelanjaan mereka secara tetap, manakala 44 peratus membelanjakan 70 peratus atau lebih daripada pendapatan bulanan mereka setiap bulan yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat.

Sumber : Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *